Kisah ini terdapat di dalam Kitab Irsyadul Ibad Sabilurrasyad.
Abdullah Muwaffaq seorang tukang kasut yang hidup selepas zaman nabi s.a.w. Beliau berjiran dengan seorang janda kematian suami. Janda ini hidup susah dan mempunyai anak.
Kebiasaannya Muwaffaq bertanya khabar jiran beliau dan sering membantu apa yang patut. Kisah ini bermula apabila Muwaffaq agak sibuk bekerja. Beliau mahu mencukupkan duit bagi menampung keperluan ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun itu. Kesibukan ini membuatkan beliau tidak sempat bertanya khabar jiran.
Kebetulan pada masa itu jiran beliau kehabisan makanan dan berlapar. Jiran beliau juga terpaksa merebus batu sebagai memasak apabila anak-anaknya meminta makanan. Keesokannya jiran beliau pergi mencari makanan dan terjumpa bangkai kambing. Lalu membawa balik untuk dimasak dan dijadikan makanan.
Ketika jiran beliau memasak, isteri Muwaffaq tercium bau masakan itu dan terliur. Isteri Muwaffaq sedang mengandung. Pada fikiran isteri Muwaffaq dia akan dapat makan masakan itu kerana jirannya selalu memberi makanan kepada jiran apabila memasak. Tapi setelah dua kali memasak, jirannya tidak berbuat seperti biasa. Isteri Muwaffaq meminta beliau ke rumah janda itu untuk meminta makanan yang berbau sedap itu.
Muwaffaq pun ke rumah janda itu. Beliau meminta maaf agak lama tidak bertanya khabar kerana sibuk bekerja mahu mencukupkan duit untuk ke Mekah. Beliau menceritakan perihal isterinya dan meminta sedikit masakan untuk diberi kepada isteri beliau. Janda ini menyatakan bahawa masakan itu HALAL untuknya tetapi HARAM untuk Muwaffaq. Tersungkur Muwaffaq apabila mendapat tahu kisah sebenar. Tanpa berlengah Muwaffaq mengambil semua wang simpanan beliau untuk ke Mekah dan memberikan kepada janda itu. Muwaffaq meniatkan pemberian itu sebagai HAJI beliau. Isteri Muwaffaq menyokong tindakan tersebut.
Pada suatu malam Muwaffaq bermimpi beliau mendapat haji mabrur disebabkan sikap beliau terhadap jirannya itu. Seramai 70 ribu para haji pada tahun itu ada yang diterima dan ada juga tidak diterima oleh Allah. Disebabkan oleh Muwaffaq semua para haji tahun itu diterima oleh Allah.
Antara pengajaran kisah ini :
1. Bertanya khabar jiran sangat dituntut dalam Islam.
2. Ikhlas mendapat redha Allah.
3. Halal dan haram dalam pemakanan perlu dijaga dengan teliti.
Tersebut di dalam hadis bahawa tidak masuk syurga orang yang tidur lena sedangkan jirannya dalam kelaparan.
No comments:
Post a Comment